Saudara saudari sudah pasti pernah mendengar bunyi golongan B40, golongan M40, T20 diungkapkan di sekeliling mahupun ketika pengumuman bantuan untuk rakyat serta pembentangan bajet belanjawan tahunan dari kerajaan.
Walau bagaimanapun, masih ada segelintir rakyat Malaysia tidak memahami maksud sebenar ungkapan tersebut. Sebagai contoh, kerajaan memberikan Bantuan BPN 2.0 kepada golongan B40 dan M40. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan sebenarnya dengan golongan B40 dan M40 ini? Utusan Kerjaya akan merungkai maksud ungkapan tersebut.
MAKSUD SEBENAR B40,M40 & T20
Maksud sebenar ungkapan B40, M40, T20 adalah takrifan untuk merujuk kepada kelas pendapatan isi rumah di Malaysia yang dibuat oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
Pendapatan ini dikira secara purata pendapatan seisi rumah dan bukan secara pendapatan gaji individu.
Melalui takrifan B40, M40 dan T20 ini, ianya memudahkan kerajaan merancang untuk memberikan bantuan atau subsidi yang bersesuaian dengan pendapatan rakyat Malaysia.
Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan pengkelasan baru dimana pengkelasan ini dipecahkan lagi daripada pengkelasan sedia ada iaitu:
- B40 kepada B1,B2,B3 & B4
- M40 kepada M1,M2,M3 & M4
- T20 kepada T1 & T2
Golongan B40 atau merujuk kepada pendapatan isi rumah 40% terendah iaitu mereka yang berpendapatan purata isi rumah di bawah RM4,849.00 yang merangkumi 2.91 juta isi rumah.
Golongan T20 atau Top 20 pula merujuk kepada pendapatan isi rumah kumpulan 20% tertinggi iaitu mereka yang berpendapatan bulanan isi rumah purata RM10,959 ke atas di Malaysia.